Setelah lama menghilangkan diri bagi dalam aktiviti mendaki gunung, dengan kudrat yang ada dan kemahuan yang memberontak, aku merelakan diri untuk bersama rakan-rakan mendaki sebuah gunung yang namanya cukup menakutkan, Gunung Hantu. Kesibukan kerja menyebabkan aku tidak punya banyak masa untuk membuat kaji selidik berkenaan dengan gunung ini. Yang pasti, ianya gunung yang jarang didaki kaki-kaki gunung.

Disebabkan ianya satu keputusan yang drastik yang mana aku langsung tidak tidur dihari sebelumnya kerana bekerja hingga jam 3pg dan kemudiannya terus ke Ipoh untuk menghadiri urusan kerja, maka badan aku sedikit kelesuan dan mata yang agak berat.

Aku dijemput di rumah oleh dua orang rakan yang baru kukenali dan kemudiannya kami terus bergerak ke tol Senawang dan sampai kira-kira jam 10.30 malam. Selepas kesemua rakan-rakan lain tiba, sembilan orang kesemuanya, kami terus berangkat ke Kg. Chennah, Jelebu yang mengambil masa kira-kira 1 jam 15 minit. Kami kemudiannya terus parkir kereta berdekatan dengan pejabat polis Kg. Chennah sekaligus mendaftarkan nama kami untuk mendaki gunung di pejabat polis tersebut. Bukan apa, sekiranya berlaku kecemasan, pihak polis akan lebih bersedia.

Bagi seseorang yang dah lama tidak mendaki, 3 tahun gantung beg, perasaan aku lebih confused daripada biasa. Adakah aku mampu menaiki gunung tanpa menyebabkan kesusahan pada orang lain? Mampukah aku menanggung bebanan beg dalam jangka masa yang panjang? Semua itu menjadi tanda tanya.

Setelah siap membawa beg masing-masing masuk ke dalam 4wD yang disediakan, kami meneruskan perjalanan yang lebih kurang 1 jam ke kawasan air terjun Sg. Kijang Jatuh, memang gelap gempita kerana tiada langsung lampu di kawasan tersebut. Kedengaran deruan air terjun dan bunyi sang cengkerik. Disebabkan sudah lewat, kami terus membentang “ground” atau hamparan dan tidur berbumbungkan langit dan bintang.

Keesokan harinya, organizer trip, Nabil dan Bob menghidangkan nasi lemak buat sarapan pagi kami semua. Lebih kurang pukul 9.30 pagi kami memulakan pendakian. Tersergam air terjun setinggi 40 kaki yang tidak mempunyai sungai yang lebar. Selepas merentasi sungai, awal-awal lagi kami telah disajikan satu rintangan yang cukup menduga akal, tangga besi yang mencacak setidak-tidak 90 darjah.

Setelah mencungap mendaki tangga besi yang sekurang-kurangnya 200 anak tangga itu, kami melalui laluan balak yang mana treknya separuh hancur dek penangan sukan motorcross yang berkongsi laluan. Trek licin dan hancur tersebut menyukarkan perjalanan. Setelah berjalan hampir 2 jam, kami tiba di Kem Hantu Air.

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan antara resam pokok paku pakis untuk sampai ke destinasi seterusnya iaitu Sg Ijin. Kami berhenti makan tengahari dan bermalas-malasan yang menyebabkan kami terlajak masa. Kami hanya meninggalkan Sg Ijin sekitar pukul 4 petang.

Setelah bersuka hati melayan trek laluan balak yang landai, aku telah diberi amaran laluan seterusnya memang menduga fizikal dan mental. Mencacak dan terus mencacak. Ianya seumpama apabila kita menegakkan jari, nak kata tegak tak tegak, itulah trek laluan kami sehingga ke puncak.

Dalam keadaan renyai-renyai, lutut yang berdenyut-denyut dan nafas tercungap-cungap, aku gigihkan juga mendaki. Kumpulan 9 telah terpecah kepada dua kerana mungkin aku yang terlalu perlahan. Sebelum ini aku pernah ke gunung-gunung yang baru diteroka treknya, namun gunung Hantu ini yang paling mencanak laluannya.

Perjalanan diteruskan selepas Maghrib. Hujan yang makin lebat menyukarkan pandangan mata aku yang sememangnya memakai spek mata. Aku pula tiada headlamp, yang ada entah ke mana. Yang ada hanyalah satu torchlight. Torchlight pegang sebelah tangan dan walking stick sebelah tangan. Bila memanjat tempat tinggi, memang tak nampak apa di hadapan.

Selepas kami mengendong bekalan air masing-masing ke puncak, aku mendahului rakan-rakan bagi kumpulan kedua. Semasa hendak memaut tangan sambil sebelah lagi memegang torchlight, aku hanya menyuluh pada tempat yang aku akan berpijak. Jadi apabila sampai di kawasan rata, aku terus menyuluh ke arah hadapan yang gelap, terus aku nampak lembaga putih bertutup keseluruhan tubuh kecuali mukanya. Pocong, ujarku dalam hati dan tidak semena-mena aku mengeluarkan kata, “Oh, shit. Tak nak lead, pergi depan dulu”.

Mengigil tubuh badanku sehingga ke puncak, pada waktu itu, aku seorang sahaja yang nampak pocong tersebut. Mungkin kerana aku yang paling lemah antara semua, aku juga uzur. Aku terlalu takut sehinggakan tidak terdaya untuk meneruskan perjalanan. Lalu kami berhenti di tengah hujan lebat, dan rakan-rakan membuat air nescafe panas untuk kuminum.

Kemudiannya, trek yang lebih mencabar daripada yang selepasnya adalah trek ke puncak. Kumpulan di hadapan telah terlepas satu campsite jadi mahu tidak mahu, kami semua terpaksa bermalam di puncak. Kesukaran mendaki paling maksima dalam gelap pernah aku lakukan. Memang mental. Bukan sahaja gelap, trek mendaki tersebut tidak punya trek langsung! Aku hanya semata-mata berpegang pada akar-akar pokok dan batu-batu di lereng bukit. Sekiranya terlepas,memang ke gaung lah jawabnya.

Terus aku terduduk bila sampai puncak, kepenatan dan masih kaget pertembungan dengan pocong tadi. Kira-kira jam 12tgh malam, kami membersihkan diri ala kadar dan terus masuk ke dalam sleeping bag masing-masing. Sejam selepas itu, kami bangun makan malam. Keesokan harinya, seorang pun tak bangun untuk melihat sunrise.Untuk memuaskan hati masing-masing, kami naik juga ke puncak teratas walaupun view tidak ada sangat.

Kami turun sekitar jam 10.30pagi dan group terakhir sampai lebih kurang pukul 7malam di persimpangan air terjun. Air terjun deras, memang gayat menuruni tangga besi yang telah putus tergantung.